PUTRAJAYA: Bertemu dengan bekas Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen (B) Datuk Seri Mohd Zaini Mohd Said yang mengetuai "Op Subuh" satu ketika dahulu, merupakan panduan berharga bagi Mej Mohammad Idham Abdullah Thani, menjiwai watak Mohd Zaini semasa persembahan pantomim pada Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Mohammad Idham, 35, berkata pertemuan sebanyak dua kali itu turut disusuli dengan menonton beberapa video sesi temu ramah Mohd Zaini menerusi aplikasi YouTube untuk mendalami keperibadian figura berkenaan.

"Saya berkhidmat sebagai tentera dan tidak pernah berlakon, jadi saya ambil inisiatif sendiri untuk jayakan watak yang diberi iaitu watak utama dalam 'Op Subuh' ini. Apa yang saya lihat, Datuk (Mohd Zaini) ialah seorang yang tegas dan ada ciri-ciri pemimpin.

"Bila saya jumpa dan menonton video-video beliau, bukan sahaja bantu saya menjiwai watak, malah beliau juga merupakan suri teladan saya," katanya kepada Bernama.

Pantomim bertajuk 'Op Subuh' ialah hasil karya gandingan Panglima Briged Kedua Infranti Malaysia Brig Jen Datuk Asri Shukor dan Pegawai Staf II Latih Markas 4 Divisyen Mej Fitri Vinoth Ridzuan Sugumaran, yang dipersembahkan oleh 85 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Op Subuh berkisarkan insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk di Perak, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada Julai 2000.

Berkongsi pengalaman melakonkan watak utama itu, Mohammad Idham yang telah 15 tahun berkhidmat dalam ATM berkata watak terbabit meninggalkan kesan mendalam kepada diri beliau serta menjadi inspirasi untuk meningkatkan khidmat dalam pasukan demi berbakti kepada negara.

"Saya dipilih untuk bawa watak beliau sebab beliau seorang yang tinggi dan berkulit cerah, malah saya juga turut memiliki beret merah sama seperti Mohd Zaini. Jadi, saya sangat terkesan dan rasa seperti betul-betul berada di lokasi semasa insiden berlaku," katanya.

Senada dengan Mohammad Idham, Insp Mohd Zaquan Mohd Zain, 32, berkata pengalaman kali pertama terpilih sebagai pelakon pantomim amat dihargai dan dijiwai sepenuh hati bagi menjayakan persembahan di hadapan tetamu termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Membawakan watak sebagai Deputi Komisioner Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff, Mohd Zaquan berkata antara panduan yang diamalkan beliau ialah menganggap tiada penonton menyaksikan persembahan itu bagi mengelakkan beliau berada dalam keadaan cemas dan gugup.

Antara sebahagian persembahan pantomim 'Op Subuh' pada Sesi Raptai Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, baru-baru ini. --fotoBERNAMA

"Saya anggota komando dan tak pernah terlibat dengan perkara (persembahan) seperti ini. Jadi, untuk selesakan diri saya kena kawal pemikiran dan mental. Saya buat macam tak ada sesiapa yang menonton sebab saya cemas bila laksanakan tanggungjawab yang di luar bidang tugas saya," katanya yang telah enam tahun berkhidmat dalam Pasukan 69 Komando di Ulu Kinta, Perak.

Anak kelahiran Besut, Terengganu itu berkata pengalaman menjayakan pantomim itu meninggalkan kesan mendalam lebih-lebih lagi ketika menyaksikan adegan dua anggota keselamatan yang terlibat dalam Op Subuh iaitu Detektif Kpl R. Sanghadevan daripada Cawangan Khas PDRM dan anggota komando Grup Gerak Khas ATM Truper Mathew Medan diseksa dengan kejam oleh kumpulan Al-Maunah, sehingga mengorbankan nyawa.

"Walaupun sekadar melakonkan kembali, namun saya rasa sebak, sedih dan terusik jiwa. Malah, yang terkorban juga seorang daripadanya ialah anggota komando," katanya.

Mengenai proses pembikinan pantomim Op Subuh, Asri yang berperanan sebagai penerbit berkata pantomim itu bukan sekadar dihasilkan berdasarkan pembacaan sahaja, malah pihaknya turut mengadakan sesi pertemuan dengan Mohd Zaini dan Abdul Razak bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden berdarah itu.

"Kita mula 10 Julai lepas dan ambil masa hampir 21 hari. Masa yang kita ambil ini adalah untuk proses rujukan dan melihat sumber rujukan yang ada termasuk berjumpa sendiri dengan figura yang terlibat secara langsung dalam insiden ini," katanya.

Asri yang telah berkhidmat selama 33 tahun dalam ATM berkata kejayaan pantomim itu turut terletak pada aspek pemilihan pelakon bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai karakter dan bentuk badan seperti anggota yang bertugas dalam operasi berkenaan.

"Kita pilih pelakon dengan melihat karakter dan perwatakan ... ketinggian dan kegagahan juga perlu dititikberatkan," katanya dan menambah pihaknya turut mendapatkan nasihat daripada Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkaitan pemberian watak kepada pelakon.

Sementara itu, Fitri Vinoth, 42, berkata beliau menggunakan pengalaman menghasilkan dua pantomim muzikal iaitu Leftenan Adnan dan Kanang Anak Langkau dalam menghasilkan pantomim Op Subuh bagi memastikan kelancaran latihan serta persembahan.

"Pantomim ini ditugaskan kepada Datuk (Asri) dan beliau panggil saya untuk bantu. Jadi, saya gunakan pengalaman yang ada dan kami banyak berbincang dari segi pemilihan pelakon, watak, pelakon tambahan dan karakter yang kita nak," kata anak kelahiran Raub, Pahang itu.

Pada sambutan Hari Pahlawan hari ini, pantomim bertajuk Op Subuh dipersembahkan dengan jayanya oleh pegawai dan anggota ATM serta PDRM sebagai mengimbas kembali operasi terbabit yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan negara bagi menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berkubu di Sauk, Perak pada 2 Julai 2000.

Linangan air mata dan hujan renyai mengiringi persembahan pantomim istimewa itu yang berlangsung selama 30 minit bagi memperingati 24 tahun tragedi berdarah yang meragut dua nyawa itu.

Kesedihan semakin menyelubungi Dataran Pahlawan apabila sajak bertajuk "Jenalik Berdarah" pula dideklamasikan oleh Sarjan Siti Nur Aini Jasni dan Insp Muhammad Faizul Mustafa diiringi lagu dendangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Di Mana Kan Ku Cari Ganti, disusuli lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu nyanyian penyanyi legenda Uji Rashid.

-- BERNAMA