KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan menggesa kerajaan Kelantan untuk campur tangan dan ambil tindakan segera dalam memantau, menilai pengurusan serta operasi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di negeri itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MUDA pada Jumaat itu berkait rapat dengan operasi menyelamat seramai 402 kanak-kanak antara tujuh bulan hingga 17 tahun selepas menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah amal milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin berkata, Kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan semua operasi GISBH di Kelantan dijalankan secara telus bagi menjamin kebajikan dan keselamatan semua pihak yang terlibat, khususnya kanak-kanak yang terdedah kepada risiko eksploitasi.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan semua operasi mereka mematuhi tatakelola yang telus serta undang-undang berkaitan berkuatkuasa, termasuk penilaian berkala terhadap rangkaian perniagaan mereka dan pusat-pusat yang melibatkan kanak-kanak bagi memastikan tiada eksploitasi, penderaan, atau pengabaian yang berlaku.

Ujarnya, rakyat berhak mengetahui status sebenar operasi ini, dan MUDA menyeru pemimpin negeri untuk tampil memberi penjelasan serta mengambil tindakan yang wajar.

"Selain itu, pemeriksaan yang teliti perlu dijalankan terhadap premis-premis di bawah GISBH di Kelantan untuk memastikan bahawa kebajikan pekerja dan kanak-kanak dijaga dengan baik dan sebarang pelanggaran hak asasi manusia perlu ditangani dengan tegas," ujarnya.

Pada masa sama, pihaknya turut menyeru agar cawangan GISBH Kelantan mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 dan memastikan bahawa institusi yang menguruskan kanak-kanak, sama ada berasaskan agama atau tidak, tertakluk kepada piawaian yang sama tanpa pengecualian.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi hari ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.