KAJANG: Seorang penuntut perempuan sebuah universiti tempatan maut selepas terjatuh dari tingkat 33 sebuah apartmen di Kajang, di sini pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Seorang penuntut perempuan warga asing berusia 19 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 33 sebuah apartmen di Kajang. Mangsa ditemukan terbaring dan berlumuran darah di koridor tingkat 12.
  • Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir ketika memanjat keluar dari tingkap tandas yang pintunya rosak.
  • Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa yang merupakan warga asing itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di koridor tingkat 12 apartmen itu.

Berdasarkan siasatan, beliau memberitahu, mangsa berusia 19 tahun itu dipercayai tergelincir ketika memanjat keluar dari tingkap kerana pintu tandas rosak.

"Kita terima maklumat daripada orang awam jam 6.34 petang mengenai kejadian.

"Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.

Naazron memberitahu, laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang pada Khamis mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi, Asisten Komisioner Mohd Nasri Tesnoh di talian 017-7102042 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.