KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan empat individu dipercayai menjadi ejen haram warga asing dalam satu operasi khas di sekitar ibu negara pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan empat lelaki warganegara Bangladesh berumur antara 22 hingga 38 tahun.

"Semakan awal mendapati dua orang yang ditahan ini memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, manakala dua orang lagi telah tinggal lebih masa.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, pasukan operasi telah merampas 134 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 117 naskhah pasport Bangladesh, empat naskhah pasport Nepal, enam naskhah pasport Myanmar, enam naskhah pasport Indonesia, satu naskhah pasport India, empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM69,380.00," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Turut disita, dua buah kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut.

Katanya modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warganegara asing yang berada di negara ini seperti Pas Khas.

Ejen ini mensasarkan pelanggan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat PLKS.

"Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan mereka untuk terus tinggal dan berada di negara ini.

"Ejen ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah. Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah diantara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Kesemua warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Manakala seorang perempuan warganegara Malaysia dan tiga lelaki warganegara Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.