KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik sistem pangkalan data e-Kasih dalam memastikan data bersifat mikro diperoleh bagi mengenal pasti golongan miskin dan miskin tegar dalam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia susulan cadangan beberapa ahli Parlimen agar data tersebut perlu dilihat semula.

"Mengikut data e-Kasih, kira-kira 510,000 isi rumah yang miskin. Data miskin tegar dan miskin ini sama banyak. Jadi inilah isu-isu yang kita hadapi.

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan miskin tegar adalah 0.4 peratus pada 2019 dan miskin (5.6 peratus) tetapi mengikut data e-Kasih, miskin dan miskin tegar hampir sama. Ini antara cabaran yang kita hadapi," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Sistem e-Kasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri merupakan sistem pangkalan data bersepadu isi rumah miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Mustapa berkata Malaysia memerlukan data bersifat mikro yang granular di peringkat akar umbi supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Sementara itu, usaha membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) iaitu sebuah pangkalan data berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial yang akan disepadukan, kini pada peringkat akhir.

PDPS yang merentasi kementerian dan agensi untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar strategik dan meningkatkan keberkesanan serta penyampaian program sosial yang dirancang itu akan dilancarkan dalam sebulan lagi.

Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh yang diketuai mantan Profesor Ekonomi di UM Prof Fatimah Kari telah mengenal pasti kepelbagaian dimensi deprivasi yang dihadapi segmen termiskin Permatang Pauh.

Matlamat kajian adalah untuk menggariskan kaedah pengukuran kemiskinan alternatif yang holistik bagi menggambarkan realiti kemiskinan di lapangan supaya bantuan dapat disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukannya.

-- BERNAMA