Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD Mastura Ahmad Mustafa berkata pameran dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan Arkib Negara itu akan membolehkan orang ramai melihat sendiri koleksi peribadi Dr Ismail.
"Sebenarnya pengalaman Dr Ismail amat unik kerana terlibat sebagai seorang daripada tokoh yang mengikuti rombongan untuk berunding mengenai kemerdekaan negara, dilantik sebagai menteri kabinet, Duta Besar ke Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama, kemudian meninggalkan dunia politik dan kembali memimpin negara sebagai timbalan perdana menteri apabila diperlukan.
"Jadi kami mahu sangat generasi baharu melihat bagaimana pengalaman Dr Ismail membina negara sehingga kita berada di tahap sekarang ini," katanya dalam temu bual di program 'Assalamualaikum' terbitan TV AlHijrah pada Isnin.
Mastura berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan majlis memperingati negarawan itu yang akan disertai ahli keluarga Dr Ismail.
![Potret sejarah tokoh Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang dipamerkan di Memorial Negarawan. --fotoBERNAMA](https://img.astroawani.com/2023-08/81690856559_freesize.jpg)
Katanya pada majlis itu, sebuah dokumentari pendek memaparkan perjalanan kehidupan Dr Ismail akan ditayangkan untuk tontonan umum yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
Selain itu, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin turut diadakan di Masjid Negara pada malam Rabu ini yang dikelolakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
-- BERNAMA