KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan rasa kesal dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat masih membisu dalam menangani keganasan rejim Israel terhadap Palestin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau amat kecewa atas ketidakmampuan masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut.

"Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.

"Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin," kata beliau dalam satu perutusan khas mengenai situasi di Palestin hari ini.

PM kesal dengan ketidakmampuan PBB hentikan keganasan Israel

Jelasnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar esok.

"Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin," katanya.

Jelasnya, serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

"Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin," tegasnya.