Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang diumumkan kerajaan pada Isnin sewajarnya membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan pekerja mereka dan bergantung kepada kepantasan pemulihan ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

Bendahari Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) Norhisham Abdul Mutalib berkata bagaimanapun, mereka yang tidak memenuhi syarat kelayakan mungkin tidak dapat menerima bantuan daripada kerajaan.

"Secara keseluruhannya, inisiatif yang diumumkan patut dipuji, daripada tidak menerima sebarang bantuan, namun PKS mungkin perlu memberi perhatian kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerana setengah-setengah mereka memandang ringan perkara ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mengenai Geran Khas Prihatin yang dijangka memberi manfaat hampir 700,000 mikro-PKS di seluruh negara, Norhisham berkata ia adalah langkah positif, namun tidak semua PKS berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Ada yang tidak berdaftar walaupun semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan kerana mereka berhati-hati dan mahu meneliti butiran dan mekanisme sistem cukai tersebut," katanya.

Beliau berkata memandangkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) ini memerlukan PKS berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, LHDN dan pihak berkuasa tempatan untuk layak menerima bantuan, ini secara tidak langsung akan memberi kesedaran dalam kalangan PKS mengenai kepentingan mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka dan membayar cukai sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Norhisham berkata langkah kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk syarikat pemula niaga juga merupakan sesuatu yang diharapkan oleh DPMMKL memandangkan ia boleh menjadi pengubah untuk negara.

"Seperti yang kita semua tahu, COVID-19 ini telah mengubah keseluruhan landskap dan ekosistem perniagaan.

"Berdasarkan pengamalan Revolusi Perindustrian Keempat, kami berpandangan ia akan menjadi sempadan baharu selepas ini, dari segi pertumbuhan pesat dan strategi Lautan Biru," katanya.

-- BERNAMA