KUALA PERLIS: Sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menerusi perairan negara semakin berani dengan membawa senjata api untuk tujuan mempertahankan diri sekiranya ditahan pihak berkuasa.

Kegiatan itu terbongkar hasil tangkapan dua lelaki dipercayai bapa saudara dan anak buahnya oleh pasukan Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) ketika menaiki bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 14 batu nautika dari barat laut Kuala Perlis pukul 8 malam Isnin.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, hasil pemeriksaan mendapati, anggota penguatkuasa menemukan satu guni berwarna putih berisi 10 bungkusan teh Cina yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 10 kilogram bernilai RM500,000.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol model A3 automatik bersama satu kelopak berisi lima butir peluru hidup.

“Hasil siasatan ke atas salah seorang suspek mengaku senjata itu digunakan sebagai jaminan suspek dalam melakukan aktiviti penyeludupan dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.



Romli berkata, kedua-dua suspek merupakan warga Thailand berusia 32 tahun dan 50 tahun.

Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM520,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen1959/63.

Romli berkata, daripada tangkapan ini dan sebelumnya, pihaknya mendapati sindiket pengedaran dadah telah menukar modus operasi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot kayu enjin bergalah bagi memudahkan pergerakan melalui kawasan perairan cetek dan melarikan diri sekiranya dikejar pihak penguatkuasa.