Gara-gara menerima rasuah RM100, seorang koperal polis hilang pencen dan dihukum penjara enam bulan dan denda RM20,000.

Tertuduh, Roslin Md Esa, 53 tahun, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, S.Indra Nehru bagi dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman empat bulan penjara jika tertuduh tidak membayar denda itu.

Dia bagaimanapun tidak membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Roslin yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa meminta suapan berjumlah RM400 daripada Bedah Debok sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Azrul Haffiz Che Azzmi yang ditahan di Balai Polis Tanjung Rambutan.

Roslin didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah gerai air kelapa, Jalan Besar, Tanjung Rambutan di sini antara pukul 2.30 petang dan 4.30 petang pada 14 Mei 2014.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa menerima suapan berjumlah RM100 daripada individu yang sama dan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Tertuduh yang tidak sempat mendapatkan pencen tetap merayu mahkamah meringankan hukuman kerana dia menyesal dengan tindakannya itu, selain perlu menanggung tiga orang anak dan isteri yang menghidap kencing manis serta darah tinggi.

Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin pula memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya serta masyarakat khususnya penjawat awam supaya amanah dan berintegriti dalam melaksanakan tugas.