IPOH: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku salah mencuri pelbagai barangan termasuk periuk dan sudip, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamat Faizal Muhamat Darus, 45, dan Mohd Ismail Mohd Abdul Aziz, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan pecah rumah bagi maksud kesalahan mencuri wayar, periuk, tiga sudip masak dan dua batang besi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Pengkalan Barat 4, Taman Rasa Sayang di sini, antara jam 10 pagi hingga 10.30 pagi pada 14 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman penjara singkat diberikan.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara empat tahun dari tarikh ditangkap dan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan. -- Sinar Harian