MARANG: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati kehadiran ratusan ubur-ubur api atau Portuguese Man of War yang kini terdampar di Pantai Rhu Muda di sini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Roswati Md Amin berkata spesies yang diklasifikasikan di bawah kumpulan hydrozoan marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar.

Pakar bidang Plankton Ekofisiologi itu berkata hidupan berkenaan mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak di bahagian tentakel, berfungsi untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh hidupan beracun itu termasuk yang telah mati kerana boleh memberi kesan berbahaya.

"Kewujudan hidupan ini banyak direkodkan di lautan Pasifik, India dan Atlantik. Bagaimanapun, pada November tahun lepas, kita dapati spesies ini ada naik di pantai sekitar UMT di Kuala Nerus.

"Hidupan bersifat koloni ini tidak boleh berenang dan bergerak menggunakan polip pelampung yang bersaiz antara dua hingga 10 sentimeter di bahagian atas yang berfungsi untuk pergerakan atau menangkap makanan.

"Spesies itu juga bergerak mengikut pergerakan arus dan tiupan angin. Kajian menunjukkan kekuatan dan arah tiupan angin mempengaruhi damparan hidupan ini di pesisir pantai. Angin kuat musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini antara penyebab damparan hidupan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pakar berkata, ubur-ubur ini mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak di bahagian tentakel, berfungsi untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya. --fotoBERNAMA

Sehubungan itu, Roswati menyarankan agar pihak berkuasa memantau kehadiran hidupan ini di lokasi pantai yang menjadi tumpuan pengunjung untuk memastikan keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak yang mudah teruja dengan penemuan hidupan laut yang unik.

"Saya juga nasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati kerana ubur-ubur ini mudah tersangkut pada pukat," katanya.

Sementara itu, penduduk di Kampung Baru Rhu Muda di sini Mohd Kamaruzaman Sulong, 48, berkata dia menyedari kehadiran hidupan itu pada malam tadi ketika berada di dapur rumahnnya.

Kewujudan hidupan ini banyak direkodkan di lautan Pasifik, India dan Atlantik, bagaimanapun pada November tahun lepas, ia didapati turut ditemui di sekitar pantai sekitar di Kuala Nerus. -- fotoBERNAMA

Kedudukan rumahnya yang sangat dekat dengan pantai membolehkan dia melihat dengan jelas ratusan hidupan berkenaan terapung-apung di laut.

"Ini kali pertama saya lihat ubur-ubur itu di Pantai Rhu Muda. Tetapi saya kenal dan tahu kewujudan ubur-ubur ini kerana pernah jumpa ketika menangkap ikan di laut.

"Semalam ombak kuat dan air pasang, mungkin itu punca hidupan ini naik ke Pantai Rhu Muda," katanya.-- BERNAMA