Penantian kira-kira 200 penduduk Orang Asli di Kampung Ulu Geruntum untuk menerima bekalan air bersih kini berakhir.

Melalui pemasangan sistem penapisan air yang canggih di kampung itu, ia sekaligus membantu menangani masalah cirit-birit yang sering dialami penduduk.

Mereka sebelum ini hanya bergantung kepada sistem graviti daripada air bukit berhampiran.

Sekiranya penduduk sebelum ini perlu menapis air sendiri sebelum menggunakannya, kini mereka boleh menarik nafas lega.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Foundation Malaysia, Dr Teh Su Thye, selepas pemasangan sistem penapisan air daripada syarikat Jerman, Riviva, ia dijangka mampu menampung sejumlah 16,000 liter air bersih sehari.

"Orang kampung ini banyak menghadapi masalah sebab air bukit selalu menjadi keruh. Jadi sukar untuk mereka mendapatkan air bersih untuk masak dan minum.

"Dengan sistem penapisan ini, air yang dihasilkan memang sangat bersih. Membran yang diguna pakai dalam sistem penapis itu boleh menapis semua benda dalam air termasuk bakteria, virus dan parasit. Jadi dia memang selamat diminum," katanya.

Pemasangan sistem penapisan air daripada syarikat Jerman ini dijangka mampu menampung sejumlah 16,000 liter air bersih sehari.

Bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka.

Menurut seorang penduduk, Wah Long, 60, mereka sebelum ini sering mengalami cirit-birit disebabkan kualiti air yang kurang memuaskan.

"Dulu memang susahlah, air semua kotor bila minum orang cirit-birit. Sekarang ada penapis ini, orang kampung berterima kasih dapat penapis sebab air bersih, tak kotorlah," katanya.

Menurut Bah Demos, 48, sebelum ini, penduduk langsung tidak dapat menggunakan air sekiranya hujan ekoran kualiti air turun mendadak sehingga tidak selamat digunakan.

"Kalau masa hujan, air dia jadi keruh dan tidak boleh diminum. Hujan pula tidak menentu, kalau tahu sekurang-kurangnya boleh simpan air sebelum hujan. Nak mandi pun susah, minum pun susah. Air dah keruh dah," katanya.

Namun, usaha ini belum berakhir.
Menurut Dr Teh, akibat bergantung kepada air bukit sekian lama, penduduk kini perlu dididik mengenai kepentingan menggunakan air bersih.

"Di kampung ini, air dari bukit disalurkan ke rumah masing-masing. Jadi mereka memang ada air di rumah iaitu sumber daripada bukit tetapi air itu tidak bersih atau selamat.

"Kesedaran itu penting, kita nak beritahu bahawa air yang menerusi paip di rumah mereka hanya boleh dipakai untuk tujuan mencuci atau membasuh, tetapi untuk memasak atau minum kita galakkan supaya menggunakan air daripada sistem penapisan ini.

"Sebab air dari bukit ini memang tidak ada jaminan ada kes-kes kampung orang asli dapat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus dan dia boleh membawa maut. Jadi adalah penting kita memberitahu mereka apakah risiko kalau mereka tak minum air selamat yang ditapis ini," katanya.

Setelah lama menunggu, akhirnya kira-kira 200 penduduk Orang Asli di Kampung Ulu Geruntum, di sini, menerima bekalan air bersih.

Buat masa ini, sistem penapisan air dipasang pada paip utama berhampiran kawasan balai serbaguna kampung berkenaan dan boleh digunakan penduduk pada bila-bila masa.

Bagi pemasangan ke setiap rumah, ia kemungkinan menelan lebih banyak kos.

Sistem penapisan air dianggarkan menelan kos RM30,000 hasil dana yang berjaya dikumpul melalui Kempen Water Sharing dengan kerjasama Global Peace Foundation Malaysia dan syarikat kosmetik Laneige sejak 1 Mei lalu.

Dari segi kebersihan air dan kesihatan penduduk, apa yang pasti, manfaatnya tidak terkira.