KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperkukuh lagi bekalan elektrik khususnya di Pantai Timur sempena sambutan Aidiladha pada 17 Jun menerusi Ops Adha.


Ringkasan AI
  • TNB akan memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur sempena Aidiladha pada 17 Jun melalui Ops Adha.
  • TNB akan memperkemas sistem voltan rendah, meningkatkan kapasiti alatubah, dan mewujudkan pencawang baharu dengan 323 inisiatif dikenal pasti.
  • Pengguna diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB untuk sebarang bantuan atau isu bekalan elektrik, dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menyelesaikan isu tanah bagi pembinaan pencawang.


Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Mahathir Nor Ismail berkata antara langkah diambil termasuk memperkemas sistem voltan rendah (MSVR), meningkatkan kapasiti alatubah (ITC) serta mewujudkan pencawang baharu.

Beliau berkata sebanyak 323 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksana merangkumi kerja menaik taraf ITC, membina pencawang baharu dan projek pengukuhan MSVR.

"Dari segi pembinaan pencawang elektrik sebanyak 114 lokasi dikenal pasti untuk mewujudkan pencawang dan daripada jumlah itu sebanyak 30 tapak diberikan kemasukan awal selain baki 84 tapak masih menghadapi isu tanah.

"Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pemilik tanah dan pihak berkuasa bagi menyelesaikannya," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengikut rekod TNB sebelum ini, gangguan voltan rendah melibatkan pelanggan domestik di Kelantan pada musim perayaan Aidilfitri lepas menurun sebanyak 67 peratus, biarpun permintaan tertinggi meningkat sebanyak 27MW kepada 570MW dalam tempoh berkenaan.

"Pengguna diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB," katanya.

-- BERNAMA