KUALA LANGAT: Serpihan baju, kasut dan cebisan tulang merungkai kehilangan seorang lelaki sebelum ditemui maut setelah terjatuh dalam mesin memproses sawit dekat sebuah kilang di Jenjarom di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengurus kilang terbabit kira-kira jam 9.15 malam.

"Pengurus berkenaan mendapati pekerjanya iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun tiada di kilang itu.

"Siasatan mendapati, mangsa yang merupakan operator kilang sebelum itu dipercayai keluar rehat kira-kira jam 1 tengah hari dan masuk semula bekerja kira-kira jam 1.50 tengah hari manakala rakan sekerja mangsa yang lain keluar rehat kira-kira jam 2 petang sebelum masuk semula kira-kira jam 2.30 petang," katanya.

Menurutnya, rakan sekerja mangsa bagaimanapun mendapati mangsa tiada di lokasi manakala mesin memproses di situ beroperasi tanpa operator bertugas.

"Rakan sekerja mangsa memaklumkan perkara itu kepada pengurus kilang sebelum mereka bersama-sama mencari mangsa di sekitar kawasan terbabit.

"Mereka kemudiannya menemui kasut, serpihan baju dan cebisan tulang manusia pada jam 5.57 petang di atas timbunan serat sawit pada bahagian hujung mesin berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit itu ketika mengendalikannya.

"Siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berkaitan kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya. - Sinar Harian