Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan bagi mengesan pesawat QZ8501 yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura pagi tadi, kata syarikat penerbangan AirAsia.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, AirAsia memberitahu, pihaknya juga memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pasukan penyelamat.

“Waris penumpang dan anak kapal pesawat terbabit boleh menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan di nombor +622129850801 untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Syarikat penerbangan tambang murah itu juga berkata, maklumat lanjut tentang pesawat tersebut akan dikemas kini sebaik sahaja ia diperoleh serta akan dipaparkan di laman web http://www.airasia.com.

Pesawat tersebut berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan sepatutnya mendarat di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan.