SUNGAI PETANI: Tindakan peniaga menyorokkan bekalan minyak masak peket bersubsidi adalah antara kesalahan yang dikesan dalam Operasi Kita Gempur, yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, sejak semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata operasi berkenaan membabitkan beberapa premis di kawasan Alor Setar dan Kubang Pasu pada Selasa, dan di sekitar Sungai Petani hari ini.

"Bagi kawasan Sungai Petani, dua daripada tiga premis yang diserbu mendapati peniaga bertindak menyorokkan bekalan minyak masak peket.

"Sebelum serbuan, kita ada jalankan uji beli dan peniaga memberitahu tiada bekalan minyak masak peket. Bagaimanapun sewaktu serbuan, didapati ada minyak masak peket yang disimpan di bahagian belakang kedai," katanya pada sidang media selepas Operasi Kita Gempur di Jalan Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif operasi berkenaan merupakan langkah strategik kerajaan bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan, yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

"Menerusi operasi ini juga, kita dapati ada sebilangan premis yang diserbu diuruskan oleh warga asing namun mereka mendakwa hanya pekerja sambilan.

"Kita masih siasat sama ada premis terbabit bertindak menjual minyak masak peket kepada rakan senegara mereka sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan peniaga menyorokkan minyak masak dan menjual kepada kelompok tertentu.

Muhammad Nizam berkata dalam operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, enam kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mematuhi penandaan harga dan penggunaan alat timbang tamat tempoh pengesahan, dengan nilai kompaun berjumlah RM600.

"Tiga kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, terhadap sebuah restoran yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bagi aktiviti perniagaan tanpa permit untuk menyimpan barang kawalan berkenaan.

"Sebanyak enam unit LPG yang berisi tiga unit tong LPG kosong dan 44 kilogram minyak masak peket bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,064 telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain ketika dihubungi memberitahu empat lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi berkenaan.

"Mereka yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun, disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

-- BERNAMA