KUALA LUMPUR: Penggunaan kamera milik jabatan oleh pegawai penguat kuasa agama semasa operasi serbuan khalwat adalah wajib untuk memastikan integriti dan hak individu yang disyaki terjaga.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata rakaman menggunakan telefon bimbit peribadi pula tidak wajar kerana ia boleh dipertikaikan di mahkamah.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa agama hanya boleh membuat rakaman untuk tujuan siasatan atau prosedur mahkamah.

"Terdapat beberapa kes di mana mahkamah menerima bantahan berhubung isu ini, khususnya apabila pegawai penguat kuasa agama menggunakan telefon peribadi untuk membuat rakaman.

"Tindakan ini sebenarnya tidak wajar kerana rakaman sepatutnya dilakukan menggunakan kamera atau peralatan video milik jabatan, bukannya telefon persendirian. 

"Selain itu, isu berkaitan aurat dan penyebaran video rakaman juga perlu diberi perhatian.

"Video yang dirakam tidak boleh disebarkan atau ditularkan kerana ia hanya untuk tujuan prosiding di mahkamah.

"Sekiranya video tersebut tersebar atau bocor lebih awal, perkara ini boleh dibangkitkan sebagai isu semasa prosiding mahkamah, yang mungkin menjejaskan kes tersebut," ujarnya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa penguat kuasa agama dibenarkan memecah masuk premis tertutup, termasuk memecahkan pintu atau tingkap, jika tiada jalan lain untuk masuk atau tiada kerjasama daripada penghuni.

"Tapi sekadar untuk buka pintu, bukanlah pecahkan satu pintu sampai rosak dan sebagainya.

"Tindakan hanya bertujuan untuk membolehkan dia (penguat kuasa agama) masuk ke premis kalau tidak ada jalan yang lain ataupun orang yang di dalam itu tidak memberikan kerjasama untuk mereka masuk.

"Sebenarnya, dari sudut undang-undang, mereka dibolehkan," katanya.

Tambah beliau, dari sudut undang-undang, tertuduh dilindungi sekiranya pertuduhan didapati tidak berasas atau menyusahkan.

Beliau berkata, Seksyen 99 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah memperuntukkan pampasan sehingga RM1,000 kepada tertuduh yang dibebaskan, tetapi aduan mesti dibuat melalui proses mahkamah.

Musa juga menegaskan bahawa hak individu perlu dijaga sepanjang pemeriksaan, serbuan, atau tangkapan.

Katanya, individu yang disyaki berhak mendapatkan khidmat peguam syarie untuk mempertahankan diri dan mengemukakan isu pelanggaran prosedur di mahkamah.

Beliau menambah, jika berlaku pelanggaran seperti serbuan yang tidak mengikut undang-undang, peguam boleh mengemukakan bantahan dan mahkamah berhak membebaskan tertuduh sekiranya proses serbuan didapati tidak sah.