KUALA TERENGGANU: Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 14 pertuduhan menerima rasuah RM12,500 antara tahun 2017 dan 2023.


Ringkasan AI
  • Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan menerima rasuah RM12,500 antara tahun 2017 dan 2023.
  • Tertuduh Che Mohd. Taufik Che Arif didakwa memperoleh suapan berjumlah keseluruhan RM9,000, sementara Mohd. Afiq Ikhwan didakwa menerima suapan berjumlah keseluruhan RM3,500.
  • Kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.


Tertuduh, Che Mohd. Taufik Che Arif, 33, berdepan 13 pertuduhan manakala Mohd. Afiq Ikhwan Ramli, 30, pula satu pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Che Mohd Taufik yang merupakan Pembantu Penguasa JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa memperoleh suapan berjumlah keseluruhan RM9,000.

Sementara itu, Mohd. Afiq Ikhwan pula didakwa menerima suapan berjumlah keseluruhan RM3,500.

Bayaran tersebut didakwa diterima melalui atas talian daripada seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.

Che Mohd. Taufik dan Mohd. Afiq Ikhwan didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Jertih, Besut antara 17 Disember 2017 sehingga 12 April 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

SPRM sebelum ini mendedahkan jumlah ketirisan hasil cukai mencecah RM2 bilion akibat kegiatan sindiket penyeludupan babitkan beberapa anggota JKDM di Kargo KLIA Sepang.