JOHOR BAHRU: Seramai 718 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian ditahan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Jan sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua yang ditahan menerusi 652 serbuan premis itu berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun, terdiri daripada 660 penjaga premis dan 58 pemain judi.

"Sebanyak 56 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala 13 premis dipohon untuk pembatalan lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 777 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 10 unit tablet dan 44 mesin Pusat Hiburan Keluarga serta wang tunai berjumlah RM140,996.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-- BERNAMA