Jabatan Peguam Negara hari ini memaklumkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) bukan sebuah pasukan petugas khas yang baharu ditubuhkan.

Sebaliknya, NRRET merupakan nama baharu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan sejak 2011.

Peranan utamanya antara lain adalah untuk menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersepadu pelbagai agensi dalam menangani pelbagai isu seperti pelarian cukai individu dan korporat dan duti kastam, penyalah gunaan barangan bersubsidi, pengaliran wang keluar secara haram dan isu berkaitan rasuah.

"NRRET tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan yang melibatkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jabatan itu turut mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah antara badan yang menganggotai pasukan tersebut.

Turut sama di dalam pasukan tersebut ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada Isnin, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar membangkitkan persoalan berhubung tindakan kerajaan yang dikatakan menyingkirkan SPRM daripada pasukan petugas khas NRRET.

Kata Akhbar, ketiadaan SPRM di dalam pasukan itu membuka ruang mengukuhkan lagi dakwaan wujud penyelewengan kuasa, salah laku rasuah melibatkan isu 1MDB.