IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan akan mempertahankan hak sumber mineral galian unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini dan memastikan hasilnya adalah untuk manfaat rakyat Perak.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Perak menjamin hak sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan dipertahankan dan hasilnya dimanfaatkan untuk rakyat, dengan kerajaan Pusat sebagai fasilitator aktiviti perlombongan.
  • Makmal Mineral Perak akan mula beroperasi pada September dengan 15 pekerja berkemahiran tinggi, termasuk ahli kimia kanan dari universiti tempatan yang akan dilatih dalam dan luar negara.
  • Pelaksanaan moratorium eksport mentah NR-REE oleh Kerajaan Persekutuan bertujuan menggalakkan pembangunan industri NR-REE dalam negara, dengan penekanan kepada pemprosesan, pengasingan elemen, dan penghasilan produk akhir, sambil memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi seragam alam sekitar.


Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagaimanapun kerajaan Pusat akan berperanan sebagai fasilitator bagi aktiviti berkaitan perlombongan sumber mineral itu.

"Kebimbangan Yang Berhormat Gunung Semanggol juga kebimbangan kerajaan negeri, dalam mesyuarat dengan kerajaan Pusat kita telah menyatakan pendirian bahawa hasil bumi NR-REE adalah hak kerajaan negeri, kita akan bermati-matian pertahankan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gunung Semanggol Razman Zakaria pada sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Razman ingin tahu mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap pemilikan hak terhadap NR-REE di Perak dan langkah memastikan hasil mineral itu dipulangkan kepada rakyat negeri termasuk untuk menoktahkan miskin tegar.

Sementara itu Saarani berkata Makmal Mineral Perak akan beroperasi pada September ini dan setakat ini seramai 15 pekerja telah dilantik untuk tujuan itu.

"Untuk permulaan, kita ambil 15 pekerja berkemahiran terdiri daripada ahli-ahli kimia kanan dari universiri tempatan, mereka ini akan dilatih dengan kemahiran sama ada dari dalam dan luar negara, dalam jangka masa panjang jika ada keperluan kita akan tambah (pekerja)," katanya.

Terdahulu, ADUN Buntong Thulsi Manogaran dalam soalan asal ingin tahu mengenai pengurusan NR-REE yang dicari gali dalam masa lima tahun hingga 10 tahun akan datang susulan Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa unsur nadir bumi tidak boleh dieskport secara mentah.

Menjawab soalan itu, Saarani berkata pelaksanaan moratorium bagi aktiviti pengeksportan NR-REE inisiatif strategik untuk menggalakkan pembangunan industri NR-REE peringkat pertengahan dan hiliran dalam negara.

Beliau berkata antara pendekatannya ialah memperhalusi perancangan pembangunan keseluruhan rantaian ekonomi berkaitan NR-REE, merangkumi peringkat huluan melibatkan aktiviti perlombongan dan pengekstrakan NR-REE, peringkat pertengahan memfokuskan kepada pemprosesan dan pengasingan elemen NR-REE dan peringkat hiliran memberi tumpuan kepada penghasilan produk akhir berasaskan NR-REE.

"Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada aspek kemampanan dalam merancang pembangunan industri NR-REE dengan memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi seragam alam sekitar yang ketat, mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam semula jadi, dan memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara adil kepada masyarakat tempatan," katanya.

-- BERNAMA