TANJONG MALIM: Dakwaan mengenai kebocoran nota diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, tiada kesahihannya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled.

Beliau bagaimanapun berkata tidak dinafikan bahawa terdapat tuntutan bertindih antara kedua-dua negara.

"Surat bocor itu tak ada kesahihan, tapi memang kita tidak nafikan ada tuntutan bertindih," katanya menjawab pertanyaan pemberita selepas menghadiri Majlis Executive Lecturer Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian juga sentiasa memantau isu berkaitan antara China dan Filipina di Laut China Selatan, serta tidak menolak kemungkinan perlu bersedia dalam apa jua keadaan.

Terdahulu Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran nota diplomatik berkenaan.

Menurut kenyataan itu, nota berkenaan diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos.

-- BERNAMA