PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata nota berkenaan diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos.

"Kementerian memandang serius kebocoran dokumen ini, yang merupakan saluran komunikasi rasmi antara kedua-dua negara.

Dalam konteks ini, kementerian sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat sulit ini. Kementerian juga akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dijalankan dengan segera," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Luar berkata Malaysia dan China berkongsi hubungan dua hala yang erat dan aktif, kerana kedua-dua negara merupakan Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa memperkenalkan usaha baharu untuk meningkatkan lagi kerjasama ini.

Mengenai Laut China Selatan, kementerian itu berkata kedua-dua negara telah menyatakan komitmen dan bertekad untuk menyelesaikan sebarang isu secara aman melalui rundingan dan dialog menggunakan platform serta saluran diplomatik sedia ada, tanpa merujuk kepada pertikaian atau kekerasan.

"Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan tetap tidak berubah. Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan, dan kepentingannya di kawasan maritim berdasarkan Peta Malaysia 1979. Pendekatan ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai (UNCLOS) 1982," menurut kementerian itu.

Dalam usahanya mengekalkan Laut China Selatan sebagai laut yang aman, stabil, dan untuk perdagangan, kementerian berkata Malaysia akan terus mengutamakan penglibatan diplomatik dengan negara-negara lain, termasuk China.

"Ini selaras dengan peruntukan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), yang menekankan penyelesaian pertikaian dengan cara damai dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan," katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa Malaysia kekal komited terhadap rundingan antara negara-negara anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan berkesan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Setakat Ogos, Malaysia dan China bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat ASEAN dan China untuk tempoh tiga tahun yang berkaitan dengan pelaksanaan DOC dan rundingan untuk memuktamadkan COC.

-- BERNAMA