Nor Azimah Ibrahim, rakyat Malaysia yang dilapor hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Dis lepas dipercayai masih berada di negara itu, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata Pejabat Konsul Malaysia di Jeddah ketika ini sedang melakukan sedaya mungkin dan bekerjasama dengan polis serta penyiasat di Madinah untuk menjejaki ibu tunggal kepada seorang anak perempuan itu
.
"Di saat saya bercakap ini pihak berkuasa dan penyiasat di sana percaya Nor Azimah masih berada di Madinah. Namun maklumat-maklumat akan datang mungkin akan mengubah hasil daripada siasatan yang diterima.

"Saya anggap setakat ini biarlah maklumat ini saya maklumkan dahulu, barangkali kalau ada maklumat-maklumat tambahan ia akan diberitahu oleh pihak berkuasa dan pihak kementerian yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Projek Surau Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, di sini hari ini.

Nor Azimah, 31, yang berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Dis lepas dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Dis.

Pada hari kejadian wanita itu berada dalam keadaan tidak sihat dan tidak mengikut ibu bapanya melakukan ziarah sebelum dilapor hilang ketika berada di Masjid an-Nabawi.