KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyokong penuh hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh industri penerbangan negara dengan membantu sektor tersebut mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta piawaian kelestarian global.

Selain menyediakan latihan dan pelbagai perkhidmatan berkaitan KKP,  NIOSH melalui anak syarikatnya NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHcert) bersedia membantu syarikat-syarikat penerbangan untuk mematuhi piawaian kelestarian antarabangsa, khususnya Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation -CORSIA).

CORSIA diperkenalkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengurangkan kesan karbon daripada penerbangan antarabangsa melalui pelaporan pelepasan dan mekanisme pampasan karbon.

Dalam konteks pematuhan kepada CORSIA, NIOSHcert merupakan badan pengesahan (verification body) tempatan pertama yang menerima akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) untuk melaksanakan pengesahan pelepasan karbon di bawah program CORSIA.

NIOSHcert turut disenaraikan dalam dokumen rasmi ICAO, iaitu CORSIA Central Registry (CCR): Information and Data for Transparency, dan telah diluluskan untuk menjalankan verifikasi pelepasan karbon bagi tujuan pelaporan CORSIA.

Ketika merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal Malaysia Aviation Group (MAG) pada Jumaat lepas (21 Mac), Perdana Menteri berkata, industri penerbangan Malaysia sedang pulih dan membina asas kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan berterusan.

Perkembangan itu juga, kata Anwar, seiring dengan pemulihan sektor penerbangan Asia Pasifik yang mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi dengan peningkatan 16.9 peratus dalam hasil penumpang per kilometer (RPK)

Dalam masa sama, Anwar turut menegaskan bahawa tempahan 30 pesawat Boeing 737 oleh MAG mencerminkan komitmen syarikat tersebut  untuk berkembang dan kekal berdaya saing, di samping memodenkan armada dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri penerbangan global.

Sehubungan itu, NIOSH optimis pelaburan dalam armada pesawat baharu yang lebih cekap oleh MAG bukan sahaja membuktikan kesungguhan untuk berkembang, tetapi juga membuka ruang kepada pelaksanaan strategi kelestarian yang lebih menyeluruh termasuk peraturan yang ditetapkan oleh ICAO.

“Dengan pemahaman mendalam terhadap keperluan industri tempatan serta keperluan standard antarabangsa, NIOSH mempunyai kepakaran dan kapasiti untuk menyediakan khidmat verifikasi yang telus, efisien dan diyakini, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada badan antarabangsa selain mengukuhkan keupayaan syarikat tempatan.

“Tempahan pesawat baharu oleh MAG yang turut disokong pengesahan berakreditasi CORSIA oleh agensi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa Malaysia kini bersedia untuk menerajui industri penerbangan serantau yang lebih mampan dan bertanggungjawab,” kata NIOSH dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Kata NIOSH lagi, pematuhan terhadap inisiatif seperti CORSIA juga menyumbang kepada agenda nasional dalam memperkukuh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di mana syarikat penerbangan yang mampu menunjukkan prestasi karbon yang sahih dan disahkan oleh pihak berkecuali akan lebih diyakini oleh pelabur, rakan niaga antarabangsa dan juga pelanggan.

Dengan infrastruktur teknikal yang kukuh, dasar kerajaan yang progresif, serta kepakaran tempatan seperti yang ditawarkan oleh NIOSHcert, industri penerbangan negara kini berada di landasan yang tepat menuju pertumbuhan lestari yang sebenar.