KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyemak naik unjuran keuntungan bersih syarikat penerbangan tahun ini kepada AS$30.5 bilion berbanding AS$25.7 bilion yang dibuat pada Disember 2023. (AS$1 = RM4.71).


Ringkasan AI
  • IATA meramalkan keuntungan bersih syarikat penerbangan meningkat kepada AS$30.5 bilion, dengan pertumbuhan pendapatan penumpang yang tinggi terutama di Amerika Utara. Peningkatan juga dijangka dalam pendapatan keseluruhan sektor penerbangan, mencapai AS$996 bilion pada 2024.
  • Asia Pasifik dijangka menyumbang separuh daripada pertumbuhan hasil penumpang dunia pada tahun ini, terutama disokong oleh pemulihan pasaran domestik di China, Jepun, dan Australia. Namun, perjalanan antarabangsa masih rendah, khususnya di China.
  • Walaupun permintaan kargo udara kukuh, pendapatan kargo dijangka mengalami penurunan kepada AS$120 bilion pada 2024, disebabkan oleh kapasiti pengangkutan yang meningkat pada tahun sebelumnya dan faktor normalisasi selepas pandemik COVID-19. Keuntungan operasi syarikat penerbangan dijangka meningkat kepada AS$59.9 bilion, tetapi pulangan modal terus mengekang industri penerbangan global.


Pada masa sama, peningkatan keuntungan juga dianggarkan lebih tinggi berbanding AS$27.4 bilion pada 2023.

IATA berkata sektor Amerika Utara terus menjadi penyumbang utama terhadap keuntungan industri itu, didorong oleh faktor muatan penumpang yang tinggi, perolehan hasil meningkat dan perbelanjaan pengguna yang kukuh walaupun dalam persekitaran tekanan kos sara hidup.

Asia Pasifik pula dijangka menyumbang separuh daripada pertumbuhan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) dunia pada 2024, didorong sebahagian besarnya oleh pemulihan pasaran domestik di China, Jepun dan Australia.

"Perjalanan antarabangsa di rantau ini masih rendah, khususnya di China yang masih di bawah paras sebelum COVID-19.

"Ini menunjukkan bahawa masih banyak permintaan untuk perjalanan rentas sempadan di rantau ini yang mungkin akan meningkatkan prospek pertumbuhan di masa depan," katanya dalam satu kenyataan.

Dari segi pendapatan, IATA mengunjurkan pendapatan pada 2024 mencecah paras tertinggi baharu sebanyak AS$996 bilion.

"Pendapatan penumpang dijangka mencecah AS$744 bilion pada 2024 - meningkat 15.2 peratus daripada AS$646 bilion pada 2023 dengan pertumbuhan RPK dijangka 11.6 peratus tahun ke tahun," katanya.

Selain itu, pendapatan kargo sebaliknya dijangka susut kepada AS$120 bilion pada 2024 daripada AS$138 bilion pada 2023.

"Walaupun mencatat permintaan kukuh, hasil kargo dijangka susut 17.5 peratus pada 2024 dan kekal sedikit melebihi paras 2019.

"Ini adalah satu normalisasi selepas berlakunya pandemik. Faktor utama adalah kapasiti pengangkutan itu di pasaran pada 2023 yang seiring dengan pemulihan perjalanan penumpang," katanya.

Secara keseluruhan, IATA mengunjurkan jumlah pelancong mencecah rekod baharu sebanyak 4.96 bilion pada 2024 manakala kargo udara 62 juta tan.

Keuntungan operasi syarikat penerbangan pula dijangka AS$59.9 bilion pada 2024, meningkat daripada anggaran AS$52.2 bilion pada 2023.

Pada masa sama, pulangan agregat melebihi kos modal terus mengekang industri penerbangan global.

Pulangan modal yang dilaburkan pada 2024 dijangka 5.7 peratus, kira-kira 3.4 mata peratusan di bawah kos purata modal.

"Industri penerbangan di landasan meraih keuntungan mampan namun masih ada jurang yang besar perlu ditampung. Pulangan 5.7 peratus ke atas modal yang dilaburkan jauh di bawah kos modal iaitu melebihi 9.0 peratus.

"Pendapatan AS$6.14 bagi setiap penumpang pula menjadi petunjuk tipisnya keuntungan itu," kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Dalam pada itu, harga bahan api jet dijangka mencatat purata AS$113.8 setong pada 2024 yang membawa kepada bil bahan api sebanyak AS$291 bilion atau menyumbang 31 peratus daripada semua kos operasi.

IATA berkata harga minyak mentah yang tinggi dijangka terus ketara untuk ditanggung syarikat penerbangan kerana tebaran berkaitan atau premium dibayar untuk menapis minyak mentah ke dalam bahan api jet diunjur mencatat purata 30 peratus bagi 2024.

-- BERNAMA