Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengajak orang ramai menandatangani petisyen mendesak Latheefa Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Nik Nazmi memberi alasan Pakatan Harapan (PH) telah memberi komitmen sebelum ini untuk membuat pelantikan Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan oleh Jawatankuasa Parlimen untuk mendesak Latheefa meletak jawatan.

"Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh JK Parlimen.

"Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi.

"Isu ini lebih besar dari Latheefa Koya tetapi tekad reformasi yang kita janjikan," katanya menerusi akaun Twitternya.


Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun 2019 menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih memendekkan perkhidmatan kontraknya lebih awal.

Mohd Shukri sepatutnya menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 17 Mei 2020.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pelantikan Latheefa adalah muktamad dan ia dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.