PETALING JAYA: Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menggesa pencipta kandungan dalam kalangan golongan muda untuk menumpukan kepada penghasilan kandungan bermakna yang mencerminkan nilai, warisan dan identiti masyarakat.

Berucap pada Anugerah Festival Video Untuk Kanak-Kanak Asia Tenggara (SEAVFC) Kali Ke-4 di sini, malam tadi, Nie Ching berkata, Kementerian Komunikasi mengiktiraf peranan penting pencipta kandungan dalam membentuk masyarakat.

"Matlamat kami bukan hanya untuk menggalakkan lebih banyak penghasilan kandungan, tetapi juga untuk memupuk kandungan bermakna yang mencerminkan nilai-nilai komuniti kita," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penciptaan sesuatu kandungan bukan semata-mata berkisar mengenai jumlah 'view' (tontonan) atau 'like' (tanda suka), sebaliknya kesan kekal yang ditinggalkan kandungan terbabit.

"Sesebuah video mungkin hanya beberapa minit, namun impaknya boleh berterusan selama bertahun-tahun terutama apabila melibatkan kanak-kanak, kandungan anda berpotensi untuk membentuk cara mereka melihat dunia," katanya.

Nie Ching berkata, pada masa ini, penghasilan kandungan menjadi lebih mudah dengan adanya platform seperti TikTok dan YouTube, ditambah dengan perisian seperti CapCut dan Adobe Premiere Pro, sekali gus memberi peluang kepada semua orang untuk menghasilkan kandungan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pencipta kandungan perlu menyedari tidak semua kandungan mempunyai nilai intrinsik hanya kerana ia mudah untuk dihasilkan.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, festival berkenaan menandakan persediaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, memberikan peluang untuk mengetengahkan kekuatan unik rantau ini.

"Ini peluang kita untuk mengetengahkan apa yang menjadikan Asia Tenggara begitu istimewa, kaya dengan kepelbagaian, budaya dan nilai-nilai yang dikongsi," katanya.

Acara diakhiri dengan simbolik penyerahan tugas penganjuran kepada Thailand, yang akan menjadi tuan rumah kepada SEAVFC ke-5, mencerminkan semangat kerjasama dalam memupuk persefahaman silang budaya menerusi penceritaan kreatif.

SEAVFC adalah inisiatif hasil kerjasama dalam kalangan negara ASEAN yang telah bermula sejak 2017 dan bertujuan menggalakkan kandungan kreatif untuk, oleh dan mengenai kanak-kanak.

- BERNAMA