KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menyokong pelaksanaan sistem pembiayaan kesihatan nasional (NHF) sebagai langkah segera bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan, meningkatkan akses serta membentuk model penjagaan kesihatan yang mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Presiden MPS, Prof Amrahi Buang berkata, sistem berkenaan secara tidak langsung akan memastikan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta saling beroperasi, di samping melindungi kebebasan pilihan untuk rakyat dan memperbaiki hasil penjagaan kesihatan.

"Farmasi komuniti adalah asas kepada visi ini. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang paling mudah diakses oleh rakyat, mereka menawarkan pengurusan penyakit kronik, penjagaan pencegahan, dan sering kali menjadi tempat pertama rujukan bagi ramai pesakit.

"Penglibatan perkhidmatan farmasi di bawah NHF bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan di hospital, tetapi juga memperkukuh pematuhan terhadap pengambilan ubat dan hasil penjagaan pesakit secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Selain itu, beliau menyarankan supaya mekanisme pembayaran bersama perlu diperkenalkan sebagai usaha memastikan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berhemah sambil memastikan ia kekal mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

"Model kejayaan dari negara seperti Jerman dan Jepun menekankan betapa pentingnya kerjasama semua pihak dalam mewujudkan sistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang adil dan mampan. Malaysia perlu mengambil langkah tegas dan berani untuk menangani cabaran yang mendesak, termasuk kenaikan premium insurans dan inflasi penjagaan kesihatan yang semakin membebankan kerajaan dan rakyat," katanya.

Amrahi berkata, MPS membantah langkah memindahkan kos perubatan kepada rakyat tanpa menyelesaikan isu pembiayaan penjagaan kesihatan secara keseluruhan, memandangkan laporan terkini menunjukkan kenaikan premium insurans hingga 50 peratus akibat peningkatan kos perubatan, manakala hospital swasta pula mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang ketara.

"Sekiranya peningkatan kos sememangnya menjadi isu, hal ini menimbulkan persoalan mengenai ketidakseimbangan dalam pengagihan dana penjagaan kesihatan. Percanggahan sedemikian mesti ditangani segera. Kenaikan premium yang ketara bukan sahaja tidak dapat diterima oleh rakyat, tetapi juga mencerminkan sistem yang tidak seimbang dan tidak mampan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu segera bertindak dan tegas untuk memulihkan keseimbangan dan mengelakkan sistem penjagaan kesihatan daripada bercelaru, manakala semua pihak berkepentingan, termasuk ahli farmasi perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk sistem NHF.

"Dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi ekosistem penjagaan kesihatan kita, kita boleh membangunkan rangka kerja berfokuskan pesakit, kos efektif dan berdaya tahan yang mengutamakan kesejahteraan semua rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA