Lima badan bukan kerajaan (NGO) bergabung menganjurkan demonstrasi aman di kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) di Gombak dekat sini bagi membantah kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Lebih 200 anggota Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK), Gabungan NGO 1Malaysia, Persatuan Anak Jati Gombak (Paja), Sahabat Ulul Amri dan Kelab Wanita 1Malaysia berhimpun kira-kira sejam serta melaungkan kata-kata bantahan terhadap kekejaman rejim zionis.

Mereka turut mengedarkan pelekat kenderaan yang tertulis 'Boikot Penyokong Zionis' kepada pemandu di kawasan itu.

Presiden IMPAK Zul Azhari Mohamed Juah, ketika berucap pada perhimpunan itu, berkata walaupun mereka terdiri daripada NGO yang kecil namun semangat untuk membantu rakyat Palestin tetap utuh di hati masing-masing.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, beliau berkata inisiatif yang dilakukan adalah sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Sehingga kini, hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan kejam tanpa henti Israel di Semenanjung Gaza yang bermula sejak 8 Julai.