Hal itu susulan pertemuan dua hala dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Anaclaudia Rossbach pada Forum Bandar Dunia ke-12, yang kini berlangsung di Kaherah, Mesir.
Nga dalam kenyataan pada Jumaat menekankan komitmen Malaysia untuk membina dan menaik taraf 100 taman awam setiap tahun dalam dekad akan datang dengan sasaran 1,000 taman baharu atau dinaik taraf menjelang 2034.
"Terdapat keperluan mendesak untuk ruang awam hijau, terutamanya di kawasan bandar yang pesat membangun, bagi menyediakan manfaat atau terapi kesihatan mental yang penting kepada penduduk dan secara keseluruhan meningkatkan kesejahteraan," katanya.
Walaupun Malaysia komited untuk membiayai inisiatif berkenaan, Nga mencadangkan agar UN-Habitat mewujudkan garis panduan standard sebagai penanda aras global untuk mengiktiraf dan menyokong ruang hijau yang berkualiti tinggi.
Ini termasuk pengenalan pensijilan atau anugerah untuk mengetengahkan (kepentingan) ruang tersebut sekali gus memastikan pengiktirafan global serta pemeliharaan kualiti, katanya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima peruntukan RM100 juta untuk membangunkan atau menaik taraf 100 taman rekreasi MADANI menerusi Belanjawan 2025. - BERNAMA