Laporan media bahawa nelayan sebuah negara asing yang menceroboh perairan negara tahun lepas untuk menangkap ikan mendapat latihan separa tentera ada kebenaran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot Pengawal Pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguatkuasa Malaysia.

"Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita perolehi bahawa nelayan asing ini dilatih oleh tentera," kata Shahidan kepada media selepas melancarkan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) dan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan agar tidak bertolak ansur dengan nelayan-nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Shahidan berkata bot nelayan negara asing tersebut adalah yang paling kurang ditangkap oleh Maritim Malaysia berbanding bot-bot nelayan Vietnam, Thailand atau Indonesia.

Katanya, laut China Selatan di Sabah dan Sarawak adalah antara kawasan strategik pencerobohan nelayan asing selain perairan Kelantan dan Terengganu yang berlaku setiap hari.

"Atas kesedaran agar perairan negara lebih selamat, kerajaan menubuhkan PSSMM dan PASKAM supaya rakyat dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan membantu Maritim Malaysia membanteras jenayah di laut," tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata tindakan terhadap nelayan tempatan lebih kepada pendidikan yang berbeza dengan tindakan terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Shahidan berkata dua buah kapal peronda pantai yang disumbangkan oleh Jepun manakala beberapa buah kapal peronda yang ditempah di negara China apabila diterima kelak akan meningkatkan keupayaan menjaga kedaulatan negara.

Katanya, perairan negara khususnya laut dalam menjadi tumpuan pencerobohan nelayan asing kerana kekayaan sumber ikan sedangkan tidak ramai nelayan Malaysia sanggup meneroka laut dalam.

Mengenai PSSMM, beliau berkata Maritim Malaysia mensasarkan seramai 5,000 orang menganggotai pasukan itu pada akhir Februari depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata tindakan agresif agensi itu berjaya menurunkan kes jenayah di laut sehingga di bawah paras tiga peratus dalam tempoh tiga tahun terakhir.

Beliau berkata dalam tempoh itu pemeriksaan meningkat kepada kira-kira 33,000 kes setahun berbanding 27,000 pemeriksaan sebelum itu tetapi yang didapati melakukan kesalahan jenayah tidak sampai tiga peratus.

Di samping itu jumlah ikan yang didaratkan pada tahun 2013 berjumlah RM8.7 bilion berbanding RM4 bilion sahaja pada 2003, kata Ahmad Puzi.

Katanya keberkesanan tindakan Maritim Malaysia jelas dengan rampasan lebih 900 buah bot nelayan asing dan lebih 200 buah darinya dijadikan tukun tiruan sejak ditubuhkan 12 tahun lepas.

"Tiap-tiap bot ini mampu menangkap 200 hingga 300 metrik tan ikan setahun. Jadi, hasil negara yang diselamatkan bernilai berbilion ringgit setahun.

"Bot-bot yang dilucuthak dan dilelong pula memberi hasil lebih RM300 juta," tambahnya.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun mengambil tindakan hati-hati bagi menjaga kepentingan negara dan hubungan dua hala dengan negara-negara asing, namun kepentingan nelayan Malaysia mencari makan tetap menjadi keutamaan.

-- BERNAMA