Kerajaan bersetuju memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada semua penjawat awam di negeri ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata penjawat awam itu meliputi mereka yang di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Pelepasan khas ini selaras pengumuman yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Pelepasan khas penjawat awam pada 8 Julai jika Aidilfitri diisytihar 6 Julai - KSN

Mohamad berkata bagaimanapun, pelepasan khas daripada bertugas ini tidak akan terpakai sekiranya tarikh Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai iaitu hari Selasa depan.

"Sehubungan itu, saya berharap semoga penjawat awam di negeri ini dapat memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas ini untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

"Seterusnya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali semula bertugas di jabatan dan agensi masing-masing," katanya.