NILAI: Negeri Sembilan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Melaka dan Johor dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci cadangan mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penubuhan koridor itu akan mengutamakan sektor perindustrian dan pelaburan sekali gus berupaya memberi impak positif terutama kepada rantaian ekonomi negeri terlibat selain menjamin kebajikan rakyat.

"Kita telah bincang perkara tersebut tetapi tidak secara terperinci dan kita akan adakan satu pertemuan insya-Allah tidak kira di mana dan siapa akan menjadi tuan rumah khususnya tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Itu juga satu perkara yang penting kerana kita antara negeri yang tidak mempunyai koridor seperti itu berbanding negeri lain, tetapi kita tak desak (untuk pasti buat), kita nak ada pertemuan (dahulu), berbincang secara baik, kita cadangkan apa perancangan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Negeri Sembilan Fest (NS Fest) 2024 yang diadakan selama lapan hari bermula semalam di Dataran Nilai di sini hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini dilaporkan berkata negeri itu bercadang mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan melibatkan Negeri Sembilan dan Johor yang akan memberi manfaat dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata satu jawatankuasa induk akan dibentuk dalam masa terdekat bagi memulakan rundingan, gerak kerja dan kajian kerjasama berkaitan cadangan itu.

Ab Rauf berkata memandangkan ketiga-tiga negeri itu saling bersempadan, satu pembangunan koridor ekonomi yang boleh memberikan kepentingan bersama kepada rakyat ketiga-tiga negeri mesti diwujudkan.

-- BERNAMA