Pakatan Rakyat memberi amaran bahawa Malaysia tidak akan terlepas dari menjadi negara bankrap, walaupun dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, GST bukan merupakan suatu 'ubat ajaib' untuk memulihkan keadaan kewangan Negara.

"Siapa kata kalau laksanakan GST negara tidak akan bankrap? Ada juga negara maju seperti Amerika Syarikat dan (bandar) Hong Kong yang tidak ada GST dan tidak bankrap.

"Kalau nak bandingkan dengan Greece, negara itu mempunyai GST sebanyak 21 peratus tapi masih bankrap," katannya semasa satu sidang media di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa menyangkal kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata pelaksanaan GST perlu kerana Malaysia berisiko menjadi bankrap seperti Greece jika ia terpaksa meminjam lebih banyak wang.

Tony berkata perkara pokok yang akan menentukan samada negara akan menjadi bankrap atau tidak ialah rasuah, pemborosan, pembaziran dan ketirisan.

"Sekiranya isu-isu pokok ini tidak diselesaikan, isu bankrapsi akan terus menjadi risiko kepada negara dengan pelaksanaan GST ataupun tidak," katanya.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang turut hadir di sidang media itu berkata, tidak kira berapa banyak wang yang telah dimasukkan ke dalam negara melalui GST, risiko kebankrapan masih akan ada sekiranya rasuah tidak dihapuskan.

Rafizi berkata, perdana menteri harus konsisten dengan penilaiannya tentang kedudukan kewangan negara.

"Najib kata negara akan bankrap kalau tiada GST. Tetapi semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kewangan negara berbanding negara lain adalah kukuh dan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar adalah cukup baik.

"Jadi, apa status kewangan negara sekarang? Adakah negara hendak bankrap atau kewangan negara kukuh?

"Kalau kewangan negara betul-betul kukuh seperti yang dikatakan oleh Ahmad Maslan, maka tidak timbul soal pelaksanaan GST," katanya.

Rafizi berkata, kenyataan yang bertentangan menunjukkan kerajaan sendiri tidak boleh menyembunyikan masalah kewangan dalam negara.

Pada Ahad, Najib telah berkata pelaksanaan GST pada 2015 nanti adalah sebagai usaha mencari sumber tambahan kepada negara dan rakyat yang tidak membayar cukai adalah 'pengkhianat negara'.

Ia berikutan statistik hanya 10 peratus iaitu 1.34 juta pembayar cukai yang membayar cukai daripada jumlah keseluruhan 14 juta pembayar cukai.

"Kalau hasil tidak ada, kita ada pilihan lain... pinjam duit. Kalau kita asyik pinjam, pinjam, pinjam, apa akan jadi?” katanya.

Katanya, jika pinjaman terlalu banyak, ia akan menyebabkan kedudukan rating ekonomi negara menurun dan akhirnya membawa kepada negara yang muflis seperti Greece.