Tanpa menyebut nama mana-mana negara, tetapi merujuk kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, Anwar berkata, mengusir negara tersebut adalah satu-satunya pilihan yang ada.
"Kita berdepan dengan situasi yang kompleks kerana penolakan Israel untuk memberikan bantuan kemanusiaan sehingga berlaku pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
"Kita telah mengambil pendirian yang sangat tegas dalam hal ini, untuk membantah dengan serius. Sebenarnya, saya telah mengemukakan idea bahawa apabila sesebuah negara menolak untuk mengiktiraf peraturan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB, satu-satunya pilihan adalah untuk menyingkirkan mereka dari PBB.
"Ada pandangan yang perlu dipertimbangkan, tetapi saya faham betapa kompleksnya situasi ini kerana seperti yang Presiden (El-Sisi) katakan, keutamaan beliau adalah untuk menghentikan permusuhan," katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala di Istana Al-Ittihadiya, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas El-Sisi sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Mesir yang bermula pada Sabtu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih mewakili rakyat Malaysia kepada Presiden Mesir dan rakyat Mesir atas bantuan mereka dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Palestin di Gaza berjalan lancar. - BERNAMA