Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat bahawa kebanyakan negara yang bertukar kerajaan berakhir dengan tidak seperti yang diharapkan.

Katanya, rakyat perlu mengambil iktibar terhadap beberapa negara seperti Syria, Mesir dan Thailand yang menjadi huru hara apabila kerajaan mereka digulingkan.

Najib berkata, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana akan merugikan pelbagai pihak seterusnya memberikan gambaran negatif terhadap negara.

Beliau menekankan perkara penting yang perlu dititik beratkan adalah perubahan dan kemajuan dalam sesebuah negara untuk merealisasikan impian kearah negara berpendapatan tinggi dan maju.

Beliau berkata demikian selepas pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) Seri Damai, di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Damai, Kuantan, Pahang.

Pada majlis itu seramai 164 penerima memperoleh geran selepas hampir 25 tahun memohon tanah RTK berkenaan.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan akan melakukan pelbagai pelan transformasi demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Ini perlu dilaksanakan demi memastikan rakyat menerima pelbagai kemudahan dan kebaikan yang sempurna sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.