KUALA LUMPUR: Negara-negara Islam yang mengutamakan keuntungan ekonomi domestik menjadi punca usaha boikot terhadap ekonomi Israel sukar mencapai objektifnya.


Ringkasan AI
  • Keutamaan Ekonomi: Negara-negara Islam yang lebih mengutamakan keuntungan ekonomi domestik menghadapi kesulitan dalam usaha boikot terhadap ekonomi Israel.
  • Sekatan Produk Petroleum: Negara-negara pengeluar utama minyak yang berdagang dengan Israel masih belum melaksanakan sekatan produk petroleum ke atas negara tersebut.
  • Perjuangan BDS: Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) berusaha membebaskan warga Palestin dari cengkaman zalim Zionis dengan mengembeling sokongan dari rakyat biasa di seluruh dunia.


Pengerusi Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Dr. Nazari Ismail berkata, ini merupakan antara punca sekatan produk petroleum ke atas Israel masih tidak dilaksanakan oleh negara-negara pengeluar utama minyak yang berdagang dengan Israel. 

"Selepas 7 Oktober, apa yang berlaku ialah Israel menghadapi masalah bekalan makanan kerana banyak ladang-ladang yang bersebelahan dengan Gaza terpaksa dikosongkan. 

“Tetapi pihak yang telah membekalkan makanan yang banyak kepada Israel ialah Turki. Disebabkan itu, ekonomi Israel dan bekalan ekonomi tidak terjejas. 

“Mengapa Turki berbuat demikian? Hatta sebelum insiden 7 Oktober, Turki telah ada persefahaman dengan Israel untuk meneroka gas di Laut Mediterranean untuk menaikkan ekonomi Turki. 

“Ini masalahnya apabila banyak negara Islam meletakkan keuntungan kewangan dan material lebih utama daripada perjuangan dan jihad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Negara Islam utamakan keuntungan ganggu usaha boikot – BDS Malaysia

Gerakan BDS dimulakan pada tahun 2005 atas kesedaran bahawa kerajaan-kerajaan di dunia, terutama sekali kerajaan Amerika dan Eropah tidak boleh diharapkan untuk membantu dalam perjuangan membebaskan warga Palestin dari cengkaman zalim Zionis ke atas mereka.

Oleh itu, gerakan BDS membuat keputusan untuk menggembleng sokongan dari rakyat biasa dari seluruh dunia yang mempunyai hati nurani serta membenci kezaliman yang dilakukan terhadap warga Palestin.

Gerakan itu mendapat inspirasi dari kejayaan usaha pemboikotan oleh masyarakat antarabangsa terhadap negara Afrika Selatan kerana amalan aparteidnya terhadap warga berkulit hitam.