PUTRAJAYA:Peningkatan bilangan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia ketika ini adalah fenomena permulaan bagi negara menghadapi gelombang ketiga, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, peningkatan kes sedemikian bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut dialami banyak negara lain.

“Apa yang kita perlu lakukan ialah untuk membendung penularan jangkitan dan untuk membendung virus tersebut, tindakan kita adalah amat penting.

“Kalau kita amalkan SOP (prosedur operasi standard), kita dapat putuskan jangkitan. SOP kita telah buat untuk semua sektor dan harap rakyat Malaysia patuhi semua SOP itu,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

BACA: COVID-19: 287 kes hari ini, tertinggi dalam sejarah

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan 287 kes baharu positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari Jumaat, sekali gus merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.