KUALA LUMPUR:Bekas pengerusi CIMB Bank Group Bhd, Datuk Seri Nazir Tun Razak menzahirkan rasa terkilan atas penulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam buku berjudul "My Story: Justice in The Wilderness".

Ia selepas, beliau mendakwa Tommy ada mengaitkan insiden 13 Mei dengan bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, dalam penulisan memoirnya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Nazir menyifatkan apa yang ditulis Tommy dalam buku itu berbentuk sangkaan semata-mata dan tidak disokong dengan bukti yang berasas.

“Ini sangkaan semata-mata.

"Lima puluh tahun kemudian dan tanpa sedikit pun bukti yang boleh dipercayai dibawa untuk menyokong pandangan ini.

“Tommy bergantung pada kenyataan bahawa Tun Razak adalah penerima manfaat (benefisiari) utama rusuhan dan mesti tergesa-gesa untuk menjadi Perdana Menteri kerana dia diberitahu bahawa dia akan meninggal dunia.

"Ini bukanlah bukti sama sekali, apatah lagi bersifat perundangan. Lebih-lebih lagi, Tommy mempunyai fakta yang salah.

"Yang mana sebenarnya penyakit kanser Tun Razak hanya didiagnosis pada bulan November 1969 dan doktor mengatakan bahawa mungkin tekanan untuk menangani rusuhan yang menyebabkan penyakit itu berlaku" kata Nazir yang juga anak bongsu kepada Bapa Pembangunan, Abdul Razak Hussein.



BACA: Tommy Thomas berpemikiran dangkal, tak faham fungsi AG, hina institusi perundangan - Idrus 

BACA: Tommy Thomas langgar sumpah jawatan - Ahmad Zahid 

Pada masa sama, Nazir menambah bahawa Tommy ada memberitahu dirinya tertanya-tanya mengapa Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra melantik Abdul Razak sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sedangkan, kata Nazir, arwah bapanya itu dilantik atas kemahuan Tunku sendiri berdasarkan pada ketika itu ia adalah pilihan terbaik.

“Tunku juga menyokong pelantikan menteri dalam negeri ketika itu, Dr Ismail Abdul Rahman, untuk membantu Abdul Razak.

“Saya percaya bahawa setiap orang mempunyai hak atas pendapat dan pandangan mereka sendiri mengenai apa yang berlaku.

“Namun, saya telah memutuskan untuk berkongsi pandangan saya yang berbeza kerana Tommy baru-baru ini adalah pegawai undang-undang tertinggi kerajaan.

Sementara itu, Nazir menegaskan bahawa peristiwa ini (13 Mei) berlaku lama sebelum dia menjadi peguam dan kakitangan kerajaan pada ketika itu.

“Tommy banyak membicarakan tentang kepemimpinan serta integriti peribadi Tun Razak serta usahanya mengembalikan keamanan dan kestabilan, melancarkan reformasi dan memulihkan Parlimen," katanya.

BACA: Malaysia perlu ubah 'skrip', kata Nazir Razak

Sebelum ini, Nazir turut mencadangkan supaya membuat penyusunan semula kontrak sosial baharu bagi memastikan masa depan yang lebih baik dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Nazir Razak memaklumkan bahawa perlu ada kajian semula mengenai ‘kontrak sosial yang tersirat’, sambil menambah ia dilihat berlaku dalam semua perkara di negara ini.