"SAYA dedikasikan buku ini (“What’s in a Name”) untuk ibu saya (Allahyarham Tun Rahah Mohd Noah) yang telah meninggal dunia sebelum sempat saya menyiapkannya."

Itu penjelasan Bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang akan melancarkan buku karyanya itu hari ini.

Dalam muat naik di laman Instagramnya, Nazir turut meluahkan perasaan - pastinya ibunya itu berbangga dengan karya yang dihasilkan ini.




"Buku ini saya dedikasikan kepada ibu, yang meninggal dunia sebelum sempat saya menyiapkannya.

"Beliau (Allahyarham) banyak berkorban untuk saya dan keluarga," katanya dalam laman Instagram pada Isnin.

Menurutnya buku “What’s in a Name” ini akan boleh didapati di kedai-kedai buku utama di seluruh negara bermula hari ini.

BACA: Kisah Nazir Razak - What's in a Name

Sebelum ini jelas beliau, versi United Kingdom buku tersebut yang merupakan imbasan kembali pengalaman, peristiwa penting yang membentuk diri dan kehidupannya itu pula akan berada di pasaran pada 18 November nanti.

BACA: "What's in a Name" nukilan Nazir Razak dilancar 8 Nov, versi UK pada 18 Nov

Nazir meluahkan kegembiraan kerana cetakan pertama buku tersebut telah dibaca dan mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai generasi dan latar belakang.

Buku ini merangkumi kisah-kisah keluarga, kerjaya, perniagaan dan politik di Malaysia.

Jelas beliau, bapanya meninggal dunia ketika umurnya berusia sembilan tahun dan penulisan ini memberinya peluang memahami Tun Razak sebafai seorang pemimpin dan individu.

Menurutnya, beberapa isu lain turut disentuh dalam buku tersebut antaranya kepentingan konteks dalam membuat keputusan, cara memahami tindak laku orang lain dan pilihan sukar yang perlu dibuat, bukan sahaja sebagai sebuah negara malah sebagai individu.

“Saya mengimbau kembali keresahan saya berkaitan pelbagai peristiwa yang berlaku seperti semasa beberapa tahun pertama kerjaya saya di CIMB yang mencabar, usaha penggabungan perbankan dan krisis 1MDB.

“Di akhir buku ini, saya membuat analisa kritikal mengenai pergerakan ekonomi politik Malaysia, mengupas cabaran-cabaran yang melanda negara dan mencadangkan kerjasama yang diperlukan untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya berpandangan yang hala tuju masa depan yang lebih baik mungkin terletak pada masa lalu, dalam bentuk satu platform perundingan baharu seperti Majlis Perunding Negara yang ditubuhkan pada 1970,” ujarnya.

BACA: What's in a Name: Sampai bila raksasa berkepala tiga akan ganggu Malaysia? - Nazir