Lazimnya warga kota mencari makanan istimewa pada malam hari minggu selepas penat bekerja dari Isnin sehingga Jumaat.

Kebiasaannya juga beberapa kedai yang hangat diperkatakan di laman sosial akan disinggahi demi memenuhi citarasa dan rasa mengidam selepas satu minggu melihatnya di skrin komputer atau telefon bimbit.

Beberapa tarikan yang dipaparkan juga menjadikan hidangan berkenaan semakin mendapat 'like' terutama di laman Facebook selain menerima pelbagai komen yang positif.

Namun, ada juga komen negatif diterima kerana dikatakan makanan itu dinamakan dengan mempunyai unsur kelucahan semata-mata untuk menarik pelanggan.

Pelbagai nama makanan yang ditawarkan merangkumi citarasa dari utara, timur, barat dan selatan utara ada di sekitar ibu kota tidak termasuk beberapa makanan selera Barat yang pastinya lebih mahal marganya.

Tinjauan di sekitar ibukota daripada rujukan laman Facebook mendapati beberapa kedai menjual nasi lemak "tetek" (payudara) selain mengaku premis mereka merupakan yang pertama memperkenalkan nasi lemak "tetek".

Terdapat dua kedai nasi lemak di Kampung Baru dan sebuah lagi di Pantai Dalam mengaku menjadi pengasas kepada nasi lemak "tetek" di ibu negara di laman media sosial berkenaan.



Tinjauan di laman sosial Facebook mendapati beberapa carian menemukan beberapa lokasi kedai Nasi Lemak "Tetek" di sekitar ibukota - Gambar Facebook


Walaupun dianggap tarikan itu satu bentuk promosi berunsur lucah, rata-rata pelanggan yang hadir menyatakan tidak kisah dengan taktik yang digunakan peniaga berkenaan.

Apa yang penting kata mereka, rasanya sedap dan kebanyakan mereka mengakui akan kembali semula ke premis berkenaan jika mahu merasai nasi lemak.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, tarikan itu merupakan lumrah kepada peniaga yang ingin mempromosi produk di kedai masing-masing.

"Memang sikap manusia juga yang ingin mencuba, dan kelainan yang diberikan akan digunakan untuk merasai sendiri makanan berkenaan.

"Ia kaedah promosi, naluri manusia juga suka kepada sesuatu yang lain atau istimewa," jelasnya.

Katanya lagi, ia dianggap tidak melanggar batas budaya dan agama walaupun strategi publisitinya dikatakan berbentuk provokasi.

"Selagi ia tidak melanggar tatacara dan batasan agama, ia masih dikira tidak mengapa.

"Cuma kaedah masing-masing itu harus bergantung sepenuhnya kepada pengguna untuk menilainya.

"Mereka harus bijak apabila membaca publisiti dan manipulasi yang digunakan peniaga," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang enggan dikenali dan mendakwa gemar ke warung nasi lemak "tetek" di Kampung Baru berkata, keistimewaan utama nasi lemak di premis berkenaan adalah sambalnya.

"Saya tidak kisah bungkus nasi lemak "tetek"nya besar atau kecil, apa yang penting kualiti sambalnya terjamin.

"Saya akan datang ke sini sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan membawa kawan-kawan pejabat, memang panggilannya nasi lemak "tetek" dan rasanya semua warga kota tahu namanya tanpa memikirkan unsur lucah di sebaliknya," ujarnya.

Selain nasi lemak "tetek", Kampung Baru juga menjadi syurga kepada peminat Nasi Lemak Antarabangsa dan Nasi Lemak Wak Manjor.

Dalam pada itu, sebuah portal sebelum ini pernah menyenaraikan beberapa lokasi nasi lemak menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Antaranya Nasi Lemak Medan Selera 223, Nasi Lemak Tanglin, Nasi Lemak San Peng dan Nasi Lemak Jalan Sentul.