Nasi dalam buluh daun lerek bersama ayam bakar menjadi hidangan yang dinantikan setiap kali Ramadan.
Pengelola masakan, Pegawai Bomba Bantuan Ahmad Radi Abdul Razak, berkata pengalaman memasak makanan ikhtiar hidup menggunakan sumber alam ketika menjalani latihan di hutan, mencetus ideanya untuk mencipta kelainan dalam masakan.
Katanya, nasi dimasak dengan cara membungkus beras di dalam daun, sebelum ia dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar seperti lemang.
“Beras dibasuh seperti biasa dan dikeringkan. Masukkan anggaran segenggam setengah beras ke dalam daun lerek yang sudah dibasuh, kemudian lipat, bungkus dan masukkan ke dalam buluh. Sehelai daun memang untuk satu bahagian.
"Air kemudian dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar. Satu ruas buluh boleh memuatkan tiga hingga empat bungkus nasi," katanya ketika ditemui di Balai Bomba Penyelamat Sik.
Katanya, proses memasak nasi buluh sebenarnya mudah kerana mengguna pakai konsep asas memasak lemang.
Menurut Ahmad Radi, nasi daun lerek ini akan dimasak bersama ayam bakar di atas baraan api dapur yang sama.
“Penyediaan ayam bakar ini tidak susah, ramuannya akan digaul di atas ayam yang telah siap dicuci.
“Kemudian ayam akan diperap dan diletakkan di dalam peti sejuk. Sambil kami buat kerja boleh tunggu perapan itu sebati,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, ini merupakan tahun pertama dia berbuka dengan juadah nasi daun lerek dengan ayam bakar selepas bertukar ke situ pertengahan tahun lepas.
Beliau yang sebelum ini bertugas di BBP Paya Terubong Pulau Pinang mengakui tidak pernah merasa masakan seperti ini.
“Saya belum pernah rasa lagi, mungkin tempat lain keistimewaan lain. Di Sik ini, banyak yang menarik antaranya, hidangan ataupun menu pada hari ini kita menggunakan nasi yang dibungkus di dalam daun larik dan dipadankan dengan ayam bakar dan juga air asam.
“Apa yang menariknya penyediaan menu itu dilakukan oleh anggota saya sendiri dengan semangat kerjasama semangat setia kawan dan kerja berpasukan dan mungkin setahun hanya sekali kita melalui ramadan yang kita hargai dan sangat cintai dan kalau boleh dapat sama-sama menikmati," katanya.