BUKIT KAYU HITAM:Kerajaan negeri Kedah mengesahkan telah meluluskan cadangan penggunaan nama Mini Stadium Padang Terap bagi menggantikan nama Mini Stadium Ffira Mikah yang telah menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Kedah di Pejabat Daerah Kubang Pasu pada Rabu.

Tambahnya, bekas Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor juga telah ditukarkan ke Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Bagaimanapun, Sanusi berkata, bahawa pertukaran berkenaan bukanlah satu hukuman yang dibuat pihaknya terhadap Hakim Ariff sebaliknya merupakan satu proses pentadbiran biasa.

"Tadi sudah diluluskan nama bagi stadium di Padang Terap tu ialah Mini Stadium Padang Terap.

"Itu proses pertukaran biasa... (Hakim Ariff) dah ditukarkan ke PKNK... (ia merupakan) proses pentadbiran pertukaran biasalah, yang itu (bawah bidang kuasa) SS (Setiausaha Kerajaan Negeri).

"(Pertukaran itu) bukan jatuh hukuman, kalau (jatuh) hukum, (dia dah kena) pecatlah," katanya.

BACA: Nama Stadium Ffira Mikah dibatal, Hakim Ariff akan dikenakan tindakan

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda, di Felda Laka Selatan, Bukit Kayu Hitam pada Rabu.

Sebelum ini, penggunaan nama Mini Stadium Ffira Mikah di Kuala Nerang telah dibatalkan serta-merta kerana tindakan berkenaan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri.

Jelas Sanusi, "Ffira Mikah" yang menjadi nama pilihan untuk stadium mini terbabit hanya dibincang pada peringkat kerajaan tempatan sahaja tanpa dibawa ke mesyuarat Exco yang dipengerusikannya untuk diluluskan.

Awal Disember lalu, tular di media sosial mengenai nama Stadium Ffira Mikah yang didakwa digunakan sempena nama Hakim Ariff yang dieja secara terbalik.

Bagaimanapun, Hakim Ariff dalam reaksinya menafikannya dan mendakwa nama stadium berkenaan tiada sebarang kaitan dengan namanya.

Dia turut mendakwa nama Ffira Mikah, merupakan gabungan perkataan bahasa Sepanyol dan Arab.