Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan Anugerah Kesukarelawan Malaysia untuk memupuk semangat kepimpinan kalangan belia.

Anugerah itu akan dibahagikan kepada pingat emas, perak dan gangsa.

"Saya nak umumkan di sini bahawa kita nak buat Volunteer Malaysia Award iaitu melibatkan kategori emas, perak dan gangsa," katanya semasa berucap merasmikan iM4U Sentral di sini hari ini.

Jelasnya, dengan penganugerahan itu ia mampu menjadi nilai tambah kepada terlibat apabila memasuki alam pekerjaan.

"Saya harap dengan anugerah ini, ia akan menjadi value kepada mereka yang mendapat anugerah semasa mendapat pekerjaan nanti. Apabila bekerja nanti ia bukan sahaja soal akademik tetapi juga soal kepimpinan kita. Kualiti kepimpinan yang ada pada kita," ujar Perdana Menteri.


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru golongan belia agar melakukan kerja-kerja sukarelawan dengan tidak mengharapkan ganjaran semata-mata.

"Kalau kita menjadi sukarelawan jangan kita lihat ini, tiada ganjaran atau elaun. Tidak patut. Tidak sebab apa? Sebab ganjaran itu terlalu besar. Duit tidak boleh ganti sumbangan adik-adik kepada negara dan diri sendiri," kata Najib.

Ujarnya, jika belia mampu mengubah atau mentransformasikan diri ganjarannya adalah lebih besar untuk mereka.

Tambahnya, konsep iM4U memastikan program bersifat menyeluruh dilaksanakan melalui satu gerakan dan daya tarikan yang mampu mencetuskan semangat baru di kalangan belia untuk pembangunan negara.

"Saya dapat rasa tenaga sukarelawan iM4U. Maknanya berbaloi sejak 4 tahun, dua juta sukarelawan, 500 pusat outreach di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, selain pusat antarabangsa IM4U di seluruh dunia," katanya.

Pelbagai pendekatan dilakukan melalui iM4U untuk mendekatkan diri dengan orang muda bagi melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang tinggi.

"Banyak iM4U lakukan. Kita buat sebab kita yakin pada orang muda sebab kalau dapat gembleng bersepadu dengan produk yang dekat dengan nurani mereka maka akan wujud satu force untuk bawa kejayaan Malaysia sama ada dari segi jati dirinya lebih mantap, lebih resilient utk tempuh cabaran luar," tambahnya lagi.