Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan terus melaksanakan dasar mesra pelaburan dan menyediakan iklim pelaburan yang kondusif.

Sehubungan ini, beliau menggesa agar para pelabur Jepun meninjau peluang pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Beliau berkata antara bidang pelaburan itu ialah dalam industri halal yang kini pesat berkembang, pembangunan Greater Kuala Lumpur dan koridor-koridor ekonomi di wilayah utara dan di Sabah.

Najib berkata demikian dalam ucaptama di majlis perasmian persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) ke-32 di Hotel Imperial di sini.

Perdana menteri berkata: "Saya mempelawa anda semua untuk menjadi rakan dalam program transformasi kami memandangkan kami kini berusaha ke arah menjadi setaraf negara-negara maju menjelang akhir dekad."

Najib tiba di sini semalam untuk lawatan kerja empat hari sempena sidang kemuncak ulang tahun ke-40 hubungan dialog Asean-Jepun.

Perdana menteri berkata Jepun telah menjadi pelabur langsung asing terbesar Malaysia sejak tahun 1980an.
Tahun lepas, pelaburan diluluskan untuk sektor pembuatan sahaja bernilai US$1 bilion, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata syarikat-syarikat Jepun memberikan sumbangan kukuh kepada pembangunan infrastruktur Malaysia terutamanya dalam sektor automotif, tenaga diperbaharui dan teknologi hijau dan bioteknologi.

"Inilah masa yang menarik untuk negara kita bekerjasama mentransformasikan ekonomi kita. Di Malaysia, transformasi kami disokong oleh Model Ekonomi Baru.

"Di Jepun, Abenomics telah menyediakan rangsangan yang diperlukan untuk perubahan," tambah beliau.