Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.
Najib berkata keunikan indeks itu adalah kerana pengukurannya yang lebih menyeluruh kerana pada fasa permulaan ia meliputi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.
"Kita mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri," katanya.
Najib berkata demikian pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 Bersama Perdana Menteri dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya Indeks Syariah Malaysia merupakan kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan dan keduanya, mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi fokus untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.
Perdana Menteri menegaskan Indeks Syariah Malaysia adalah berorientasikan pengukuran usaha dan bukannya semata-mata hanya menilai tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip serta nilai Islam.
Dalam konteks itu, katanya, lebih tinggi nilai indeks bagi satu-satu bidang bukan sahaja menunjukkan bidang berkenaan mempunyai tahap patuh syariah yang tinggi tetapi juga kualiti pelaksanaan dasar serta program bidang berkenaan boleh dibaca sebagai baik.
"Sesuatu dasar itu mungkin patuh syariah, tetapi yang penting adalah bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu lebih terserlah," katanya.
Najib berkata Maqasid Syariah sememangnya telah lama diaplikasikan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia namun belum pernah diukur pada satu tahap yang sebenar.
Katanya kebanyakan dasar serta program kerajaan tidak dilihat sebagai menepati tuntutan hanya semata-mata ia tidak dijenamakan dan berlabel Islam.
"Kita sesungguhnya tidak mahu hanya berjaya menyajikan kepada masyarakat sesuatu yang bersifat pelabelan semata-semata. Adakah sesuatu yang tidak dilabelkan dengan jenama Islam, maka secara automatik ia menjadi tidak Islamik? Dan adakah jika sesuatu itu dilabelkan sebagai Islam, maka ia benar-benar menepati kehendak Islam," katanya.
Najib memberikan contoh sekolah rendah kebangsaan kerajaan yang tidak menggunakan label sebagai sekolah rendah kebangsaan Islam, namun tetap mempunyai sukatan pelajaran yang menekankan nilai Islam seperti Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
Katanya jika status maju atau mundurnya sesebuah negara diukur menggunakan Indeks Pembangunan Manusia, adalah sangat perlu untuk Malaysia mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik bagi mengukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah.
Katanya walaupun istilah indeks Syariah telah diguna pelbagai pihak sebelum ini, namun indeks berkenaan lebih banyak digunakan untuk mengukur tahap kepatuhan Syariah dalam bidang tertentu seperti kewangan, perhotelan, industri makanan dan pasaran saham.
"Jika dahulu kita tidak ada satu kaedah ukuran yang saintifik dan sistematik, maka dengan indeks ini sekurang-kurangnya ada kaedah untuk mengetahui di mana status kita, bukan sahaja dari segi tahap patuh Syariah, tetapi usaha kerajaan dalam penggubalan dasar dan program," katanya.
Mengenai pembentukan model indeks berkenaan, Najib berkata Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia telah melakukan lawatan penandaaras ke empat negara Islam iaitu Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi untuk melihat tahap patuh Syariah dalam bidang yang dipilih.
"Kita bersyukur kerana bumi Malaysia adalah bumi yang sangat bertuah. Dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini, maka inisiatif yang menyeluruh seperti model Indeks Syariah Malaysia dapat dibina dan dibangunkan sebaiknya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak menerima usaha telus itu untuk menambah baik pentadbiran kerajaan yang menepati tuntutan Islam melalui Maqasid Syariah.
"Jika sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikannya, tetapi dengan pengenalan indeks ini yang merupakan satu kaedah yang objektif, telus, komprehensif, akan mampu memberi indikator pencapaian yang lebih tepat," katanya.
Najib berkata masyarakat bukan Islam juga akan mendapat manfaat menerusi penggunaan Indeks Syariah Malaysia dan ia terbukti apabila ramai pemegang Akaun Mudharabah dalam bank-bank yang melaksanakan perbankan Islam di Malaysia terdiri daripada orang bukan Islam.
"Sesungguhnya nilai-nilai murni seperi keadilan, ketelusan dan kebaikan di dalam sistem akad Islam inilah yang telah menarik minat orang bukan Islam untuk menjadi antara golongan paling ramai membula Akaun Mudharabah (perkongsian keuntungan yang beramanah)," katanya.
Perkara sama juga dapat dilihat melalui pemilikan sijil halal Malaysia iaitu hampir 68 peratus adalah daripada kalangan bukan Islam serta produk syariah lain seperti takaful dan sistem gadaian Islam telah menarik minat dan penglibatan mereka untuk mengambil manfaat daripada produk syariah itu, katanya.
"Tentu sekali kaedah pengiraan Indeks Syariah Malaysia yang telah dibina akan dimantapkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa.
"Dengan peralihan tempoh yang sesuai, jumlah bidang yang diukur akan ditambah, aspek yang disemak akan diperincikan, kategori mereka yang diperolehi respons serta persepsi akan dipelbagaikan dan skop agensi serta dasar yang dinilai akan diperluaskan," katanya.
Bernama
Tue Feb 10 2015
Najib berkata keunikan indeks itu adalah kerana pengukurannya yang lebih menyeluruh. Gambar fail
Ekonomi digital Malaysia naik 16 peratus ke RM141 bilion
Dalam satu laporan, Google berkata tiga faktor penyumbang utama adalah e-dagang, pelancongan dalam talian dan perkhidmatan kewangan digital.
Hujan lebat berterusan tahap bahaya di Terengganu, Pahang hingga Jumaat ini
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang hingga Jumaat ini.
[TERKINI] Ucapan PM Anwar di Universiti Kebangsaan Seoul
Ikuti langsung ucapan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk "Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia" di Universiti Kebangsaan Seoul.
#AWANInews
#AWANInews
Lebih 120,000 ekspatriat berada di Malaysia, sumbang 4.8 peratus daripada KDNK
Sebanyak 120,183 pegawai ekspatriat berada di Malaysia setakat 31 Okt lepas.
Kim Swee jurulatih baharu kelab Indonesia, Persis Solo
Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu sebuah kelab bola sepak dalam Liga Indonesia, Persis Solo.
Pemandu mabuk sebabkan kematian suami isteri didakwa
Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri pada 16 November lalu.
Pastor didakwa bunuh, simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku
Seorang pastor didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan membunuhseterusnya menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk beku tiga tahun lalu.
Peningkatan astronomikal harga rumah di bandar tidak tercapai akal
Jelas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, satu unit kondominium 1,000 kaki bernilai RM500,000 justeru GLC berkaitan dicadangkan bina rumah mampu milik kerana tanggungjawab terhadap rakyat dan bukan meraih keuntungan semata-mata.
85 peratus penjawat awam telah tandatangan opsyen SSPA - KSN
Sebanyak 85 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam telah menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini.
Tunggakan bil elektrik cecah RM1.01 bilion - Akmal Nasir
Jumlah tunggakan bil elektrik di seluruh negara melonjak kepada RM 1.08 billion setakat September 2024, melibatkan 627,491 akaun yang bekalannya telah dipotong, menurut statistik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
Skor Indeks Syariah Malaysia 2015 catat 75.42 peratus
Skor indeks itu secara tidak langsung menunjukkan kerajaan serius dalam mengambil kira pandangan rakyat, prihatin prihatin dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik.