SEREMBAN: Terminal Bas Seremban lebih dikenali sebagai Terminal 1 akan muncul dengan wajah baharu lebih moden bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan sosioekonomi di pusat bandar Seremban dan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar berkata, kerja menaik taraf bangunan dibina sejak 1995 itu kini mencapai 80 peratus siap dan bakal selesai pada Mac tahun depan.

"Usaha menaik taraf terminal itu melibatkan kerja mengecat keseluruhan bangunan di luar dan dalam, termasuk menceriakan kawasan parkir bertingkat yang akan dilengkapi dengan lampu, berbanding sebelum ini kelihatan suram.

"Kemudahan lebih moden dan mesra pengguna, Terminal 1 berperanan sebagai hab pengangkutan utama memudahkan pergerakan penduduk setempat dan berpotensi menarik kehadiran pelancong luar, sekali gus memberi imej baharu kepada pusat bandar," katanya kepada Bernama, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, terminal itu nanti akan dilengkapi dengan ruang menunggu berhawa dingin, gerai lebih teratur, tandas lebih cantik, ruang ketibaan dan pelepasan bas yang efisien.

Arul berkata, Sistem Tiket Berpusat (CTS) juga telah dilaksanakan di Terminal 1 berbanding sebelum ini hanya membeli tiket menerusi kaunter bas sahaja.

Beliau berkata, perubahan lebih moden ini diharap dapat memberikan pengguna pengalaman perjalanan yang lebih baik dan selesa.

Sementara itu, Penyelaras Trafik Bas Henti-Henti Terminal 1 Kamarul Salim, 60, ketika ditemui berkata, pihaknya berterima kasih dengan kerja naik taraf yang sedang dilakukan ketika ini dan yakin usaha itu akan memberikan keselesaan kepada pengguna dan juga peniaga di terminal.

Kamarul yang mula bekerja di terminal itu sejak 2015 berkata pembaharuan infrastruktur terminal berkenaan sangat relevan memandangkan masih ramai menggunakan perkhidmatan awam itu setiap hari terutamanya mereka berulang-alik bekerja ke Selangor dan Kuala Lumpur.

"Waktu pagi dan petang paling ramai pengguna di sini iaitu seawal 5 pagi, apabila terminal ini dinaik taraf, ia lebih selesa selain kedai makan yang tersusun memudahkan orang ramai. Hari minggu juga ramai, terminal ini strategik dan penting untuk orang awam," katanya.

Peniaga kedai makan Rozaini Ahmad, 65, yang berniaga lebih 10 tahun di terminal itu berkata, usaha menambah baik infrastruktur itu juga penting kerana ia dapat membantu merancakkan perniagaan gerai-gerai makanan di situ dengan keadaan lebih selesa dan tersusun.

Beliau berkata, antara pembaharuan dilakukan adalah naik taraf tandas dan parkir bertingkat yang lebih selesa dan selamat untuk digunakan oleh para peniaga dan orang ramai.

"Kalau dulu tandas dan tempat parkir di bangunan ini kelihatan suram serta gelap, bahaya juga dari aspek keselamatan, tetapi kini lebih baik dan terurus, di ruang parkir ada lampu, keadaan ini amat penting terutamanya peniaga di sini datang seawal 4 pagi dan tutup kedai 9.30 malam," katanya. - BERNAMA