DUNGUN: Pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga suspek dengan keluarga tiga pelajar yang terkorban dalam kemalangan Rabu lepas.

UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan tersebut atas permintaan keluarga pemandu wanita terbabit yang berhasrat untuk menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata dengan keluarga mangsa.

Bagaimanapun pihak UiTM perlu menunggu masa yang sesuai bagi memastikan semua pihak dalam keadaan bertenang dan benar-benar bersedia.

"Pihak UiTM menghargai hasrat tersebut dan akan cuba bantu berhubung dengan keluarga mangsa agar pertemuan berlaku dalam masa yang sesuai buat ketiga-tiga keluarga.

"Buat masa ini mereka perlu diberi ruang menghadapi ujian besar kehilangan anak-anak mereka," menurut kenyataan itu.

Kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun itu mengorbankan Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20.

Sebelum ini dilaporkan suami kepada wanita yang dipercayai mengalami masalah mental itu berhasrat untuk berjumpa keluarga mangsa bagi memohon maaf bagi pihak isterinya dan berharap UiTM dapat membantu mengaturkan pertemuan tersebut.

Dalam kenyataan sama, UiTM turut memaklumkan mengenai keadaan seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang cedera dalam kejadian itu kini beransur pulih dan dijaga secara bergilir-gilir oleh ibu bapanya.

Keluarga mangsa turut berpuas hati dengan kemudahan penginapan dan beberapa sokongan lain yang disediakan oleh pihak UiTM, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA